Kem Smart Solat: Lahirkan Si Cilik Berjiwa Murni
- Muhammad Wafiy Sarip
- May 29, 2015
- 2 min read

Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa (SKM) bergambar bersama sukarelawan Laskar Pelangi Semarak setelah selesai program 'Kem Smart Solat'
NILAI- Atas dasar tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat, Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa (SKM) Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) menyediakan satu platform ‘Kem Smart Solat’ kepada anak-anak di Taman Semarak, 24 Mei lalu.
Program ini bertujuan untuk melahirkan barisan kepimpinan dalam kalangan ahli Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa (SKM) khususnya yang melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dengan membantu remaja yang kurang jelas tentang kepentingan melaksanakan solat.
Malahan, program ini menitikberatkan golongan remaja khususnya bertepatan dengan objektif USIM, melahirkan ilmuan Islam yang mampu menggalas tanggungjawab dalam membimbing masyarakat di dalam mahupun luar USIM.
Menurut pengarah program, Waliuddin Yusoff, Kem Smart Solat ini merupakan salah satu inisiatif Biro Pendidikan SKM USIM untuk memberi pendedahan mengenai cara solat yang betul terhadap kanak-kanak.
“Saya berharap dengan adanya program sebegini dapat memupuk kesedaran dalam diri adik-adik tentang kepentingan solat dalam kehidupan,” ulasnya lagi.
Menurut Hafizah Hassan, salah seorang sukarelawan yang turut serta, program ini wajar diteruskan kerana mahasiswa perlu cakna akan masalah pelapis generasi masa hadapan dan meluangkan masa untuk mengajar mereka cara solat yang sempurna serta cara ambil wuduk yang betul.
“Hal ini kerana kebanyakan adik-adik yang sertai program ini solat sambil lewa tanpa menitikberatkan rukun solat yang sempurna,” tambahnya lagi.

Salah seorang sukarelawan dari Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa USIM sedang mengajar adik-adik di Taman Semarak mengenai cara solat yang betul.
Salah seorang peserta, Syazwan, berkata dia amat menyukai program ini kerana para fasilitator mengajarnya dengan tekun.
"Saya juga dapat memperbaiki kelemahan dalam mengambil wuduk dan solat dengan lebih mendalam,” katanya lagi.
Secara keseluruhan, seramai 84 orang peserta yang terdiri daripada sekolah rendah dan menengah melibatkan diri dalam kem ini dengan dipantau oleh 20 orang fasilitator dari USIM. Program ini dijalankan di Masjid Al-Azim Taman Semarak,Nilai.
Comments