Tai Chi: Bentuk Kehidupan Lebih Baik
- Nur Mudrikah Musa
- Jun 5, 2015
- 2 min read

Pertunjukan Tai Chi yang menarik dari mahasiswa bersama staf USIM
NILAI- Dalam memupuk kesedaran mengenai pentingnya menjaga kesihatan di kalangan masyarakat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Syariah and Law Club (SLC) mengambil peranan ini dengan mengadakan program Jogathon dan Tai Chi yang diadakan bersama dengan staf USIM sendiri.
Asri Loke Abdullah, selaku pengajar Tai Chi berkata, taici merupakan satu sukan yang dapat menjamin kesihatan dan sangat baik dalam menyembuhkan sakit pinggang dan sendi.
“Saya harap masyarakat USIM turut mengaktifkan diri dalam Tai Chi demi memelihara kesihatan yang lebih baik dan terjamin,” katanya lagi.
“ Pihak kami juga menyediakan latihan Tai Chi setiap Ahad di Dataran Nilai bermula jam lapan pagi sehingga sembilan pagi,” tambahnya lagi.
Siti Khadijah Bt Mhd Amin, Exco Sukan Syariah and Law Club (SLC) FSU berkata, objektif utama program Jogathon dan Tai Chi ini diadakan adalah untuk menyeru dan mengajak staff dan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke arah hidup yang lebih sihat dengan bersukan.
“Program Jogathon dan Tai Chi ini sebenarnya kesinambungan daripada program Mahrajan Sambutan Fakulti (ManSaF) yang diadakan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) sekarang,”ujarnya lagi.
Menurut Siti Khadijah lagi, program ini kurang mendapat sambutan di kalangan staf mahupun pelajar itu sendiri kerana terdapat banyak aktiviti dan program lain yang bertembung dengan program ini.
Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa yang akan datang kerana ia suatu bentuk program riadah yang sangat baik dan bermanfaat terhadap diri sendiri.
Menurut Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Syahirah Abdul Shukor yang juga merupakan peserta bagi program tersebut berkata, pelaksanaan jogathon dan taichi ini dilihat sangat bagus.
“Aktiviti gabungan antara staf USIM dan pelajar ini sangat baik kerana ia dapat mengeratkan hubungan antara mereka selain dapat bersenam dan menyihatkan tubuh badan”, katanya.
Tambah beliau lagi, penganjur harus bijak memilih masa yang sesuai kerana penyertaan tidak memberangsangkan daripada staff dan juga pelajar.
“Hal ini mungkin disebabkan faktor kekangan masa yang dihadapi serta merupakan masa ibu bapa berkejar mengambil anak pulang dari nursery atau sekolah menyebabkan ramai yang tidak dapat turut serta memeriahkan program ini,” ujar Dr Syahirah lagi.
Comments