Sayonara Jahiliyyah Ahlan Tarbiyyah
- UMMI AIMAN MOHAMAD
- Jun 5, 2015
- 2 min read
Nilai- Dalam mempertingkatkan lagi agama Islam ke arah yang lebih baik, satu inisiatif diambil oleh mahasiswa tahun 3 Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dengan menjayakan bicara ilmiah iaitu Sayonara Jahiliyyah bagi memberi pencerahan yang lebih mendalam kepada mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Ini kerana, jika dilihat pada zaman ini masyrakat Islam seolah-olah menyerupai tabiat orang-orang zaman jahiliyyah pada zaman dahulu.
Ustaz Mohd Syamsul Hakim Abdul Samad, pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah berkata, jahiliyyah bermaksud bodoh atau sesat. Dengan erti kata lain, jahiliyyah juga merupakan yang mana seseorang itu tidak ada ilmu, tidak menuruti ilmu yang telah ditetapkan dan beramal ilmu yang ada tetapi menyalahi kebenaran.
Menurut beliau, tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya kita mengikut seseorang untuk menjadikan kita ke arah yang lebih baik.
“ Hal keduniaan mestilah melihat apa yang kurang dari kita supaya kita bersyukur dengan apa yang kita ada, walhal keakhiratan mestilah melihat orang yang lebih dari kita seperti orang yang banyak beribadat kepada Ilahi agar kita lebih termotivasi untuk menjadi lebih baik daripadanya,” tambahnya lagi.
Ustazah Rozita Abdul Hamid yang merupakan pendakwah bebas membahaskan lagi mengenai isu pada zaman ini berkata, kayu ukur untuk keluar dari jahiliyyah ialah kita mestilah mulakan dengan hati.
"Ini kerana, sekiranya hati kita baik maka eloklah kehidupan kita dan sekiranya hati kita tidak baik maka tidak eloklah kehidupan kita dan di sini terbuktilah hati merupakan kayu ukur yang paling penting untuk kita berubah ke jalan yang diredhai oleh Allah," katanya lagi.
Menurutnya lagi, untuk mendidik hati haruslah kita memperbanyakkan beristighfar dan berselawat kepada-Nya supaya hati kita sentiasa bersih dan mudah untuk mendalami ilmu dunia dan ilmu akhirat.
“ Bila kita berniat untuk menjadi baik, maka tetapkanlah matlamat kita untuk menjadi baik agar kita tidak terpengaruh terhadap sesuatu yang tidak baik yang terdapat di sekeliling kita.
"Apa yang paling penting dalam kehidupan, haruslah yakin kepada Allah dan selalu bersangka baik kepada-Nya," tambahnya lagi.
Nurain Effendi, mahasiswi USIM yang turut serta dalam bicara ilmiah ini menyatakan, untuk menjadi seseorang yang baik, perlulah istiqamah untuk berubah ke arah kebaikan.
“Kita tidak perlu memandang keburukan yang ada pada orang lain dengan erti kata lain jangan mencari aib orang, tetapi kita hendaklah mencari kebaikan dan kelebihannya untuk kita menjadi contoh teladan,” katanya.
Comments